Monday, September 20, 2010

PATAH TUMBUH HILANG TIADA PENGGANTI...

Suasana dalam hospital kebingitan dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran yang memenuhi setiap penjuru ruang.Hujan yang turun renyai-renyai dan kedinginan angin hembusan pagi bisa memamah dan menggigit tulang belulang dan menampar halus langsir-langsir tingkap dan kadang-kadang melambai menggamit kedatangan para pelawat.


Kelihatan sekujur tubuh terbaring di atas hamparan tilam yang serba putih dan berselimutkan kain yang agak tebal kiranya.Mengenakan pakaian yang hijau kusam dan di sekitar wajahnya melingkar wayar-wayar alat bantuan pernafasan dan tiub air.Sesekali panjang nafasnya ditarik dan agak sukar sekali untuk menelan titip-titip nafas sebenarnya.Saya merenung wajahnya,kelihatan cengkung.Surut susuk tubuhnya,tak macam seperti dahulu yang saya jumpa sebelum berangkat ke negeri orang.Dahulunya pipinya sedikit tembam,dek kerana lalu makan.Pantang dihidang apa pun,belasah sahaja.Itulah Che saya (loghat Baling),tetapi dalam penulisan saya pada kali ini saya akan menggelarkannya Tok Wan untuk memudahkan para pembaca memahaminya.


Tanggal 18/11/2009,pada ketika itu di rumah saya bakal berlangsung mesyuarat tentang persiapan walimah abang saya yang tidak lagi akan berlangsung.Pada petang itu Tok (nenek),Pak Tih semuanya berada di rumah saya.Cumanya yang berada di rumah Tok Wan adalah Mak Tih seorang sahaja.Tatkala azan asar berkumandang,Tok Wan dah pun bersiap sedia nak mengambil wuduk di bilik air di luar rumahnya.Keadaannya pada ketika itu agak kurang sihat memandangkan darah tingginya mulai naik.Tiba-tiba matanya berpinar-pinar dan sakit kepalanya kian menjadi-jadi.Entah macam mana,dia terjatuh dan kepalanya terhempap pada lantai simen bilik air.


Kemudiannya dia dikejarkan ke Hospital Besar Sungai Petani oleh Pak Tih dan diiringi oleh Pak Cik yang kebetulan berada di rumah saya saat itu.Tok Wan sudah tidak sedarkan diri.Di sana,dia diberi rawatan yang secukupnya dan doktor mengesahkan dia menghidap strok.Kemudian,pihak hospital tersebut memberi arahan agar memindahkan Tok Wan ke Hospital Baling pula.Di sinilah hampir lima hari empat malam,kami sekeluarga dari sebelah Tok Wan berkampung dan bergilir-gilir menjaganya.


Umurnya yang hampir mencecah 87 tahun dan saya berkira seusia dengan Tun Dr. Mahathir.Namun pada kad pengenalan diri umur sebenar tidak disebutkan oleh kerana faktor kesukaran untuk berdaftar pada waktu dahulu agaknya.Caturan jalannya sedikit perlahan dan disokong oleh tongkat kesayangan yang dibuat sendiri.Cantik dan kreatif.Kebiasanya selepas bangun tidur pada petangnya sebelum dia solat asar,dia memilih untuk menggunakan tandas di luar atas alasan nak beri makan beruk,burung-burung punai dalam sangkarnya dan ikan keli dalam kolam.Jika agak lama dia di luar,berleter panjang nenek saya di dalam.Kadang-kadang saya geli hati melihat telatah mereka berdua.


Tok Wan dikenali sebagai bomoh patah dan urut,namun pada masa yang sama Allah menganugerahkan dirinya untuk berubat penyakit santau juga.Sudah bermacam-macam orang dia temui,ada datang dari utara hingga selatan tanah air untuk berubat dengannya.Waktu cuti sekolah atau semester pada sekarang ini,sayalah yang menjadi assistant setianya.Jika ada orang datang rumah untuk berubat,saya akan memaklumkan kepadanya dan membuka daun pintu untuk tetamu serta sediakan air sekali.


“Tok Wan,ada orang datang”,agak menjerit nada suara saya.


Saya bukan sengaja untuk bercakap kuat dengannya,akan tetapi dia agak kurang pendengaran.Sekiranya ramai orang yang tidak mengenali Tok Wan dan melihat kelakuan kami yang bercakap kuat dengannya mesti mereka akan mengatakan kurang beradab.Kesian Tok Wan…..


“Nenek,siapa yang beli cawan ni.Cantik la.”Saya membelek-belek cawan-cawan yang tersususn di atas rak. “Siapa lagi kalau bukan yang orang rajin membeli”.Selamba jawapan nenek sambil tersenyum sengih.


Tok Wan kuasa membelinya memang besar dan amat pemurah orangnya.Macam-macam dia beli kalau keluar pekan dengannya.Kami cucu-cucunya amat menyayangi kerana sifat penyayangnya dan prihatin serta tidak pernah marah kami sekali pun walaupun kadang-kadang kami agak nakal-nakal.


“Tok Wan suka benar kalau cucu-cucu Tok Wan datang.Lalu sikit Tok Wan makan nasi.Panjang benar Tok Wan bercerita.


Kebiasaannya kalau tiba musim cuti sekolah,kami anak cucunya akan berkumpul dan berkelah di rumahnya.Asam pedas,ulam-ulaman dan air asam sudah menjadi menu wajib kami sekeluarga.


“Ish,ish…macam anak kerbau huma(korang) ni”.Senang hati Tok Wan melihat kami yang ligat makan ulam dan air asam.


Bersiap sedialah sesiapa yang duduk di sebelahnya time makan.Mulalah dia nak tambah itu dan ini,kadang-kadang di letak nasi,dibubuhkan kuah dalam pinggan kita dan macam-macam lagi.Begitulah kemesraan yang dipamerkan olehnya kepada kami.Saya teringat akan pantangnya,dia tidak akan makan dalam pinggan yang berwarna jernih yang menampakkan lantai.Entahlah kenapa…..biasalah orang tua-tua…otai man.


Pabila dipelawa untuk ke mana-mana pasti dia tidak akan menolak.Tibanya pasar malam,dia tidak akan melepaskan peluang.Hari Khamis dan Sabtu kebiasannya kami akan mengajaknya keluar.Belum sempat nak beli barang,jika dia bertemu dengan siapa-siapa yang dikenalinya pasti dia akan bersalam.Langkah jalannya yang perlahan dan tongkat kesayangannya dijadikan penguat menyusur dalam lautan manusia.Segalanya dia beli.Ikan,ayam,sotong,daging,bawang,cili,sayur-sayur…..banyak la.Tak cukup tangan dah kami dibuatnya.Sampai satu saat,kami tak sempat beli pun barang-barang kami….Tok Wan,Tok Wan.


Kadang-kadang Tok Wan dan nenek selalu juga sakit-sakit belakang dan lulut.Jika kami cucu-cucunya urut nenek,jealous la dia .Bising memanggil kami. “Tok Wan bukan boleh kalau tengok huma(korang) urut Tok(nenek),dia jealous nanti”.Ketawa besar nenek. Bukan apa,maybe nak perhatian daripada kami agaknya.Kecil-kecil dahulu,bila urut Tok Wan mesti dia akan bagi upah duit,biasalah budak-budak.


Sudah masuk hari yang kelima,Tok Wan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.Kami anak cucunya serta anak-anaknya sendiri tak putus-putus membacakan Al-Quran untuknya agak dipermudahkan segala urusan.Di katil bersebelahan Tok Wan,terbaring seorang pak cik yang seumur Tok Wan pada jangkaan saya.Dia mengidap strok juga.Namun yang menyedihkan anak-anak hatta cucu-cucunya tidak pun melawatnya kecuali anak perempuan serta adik lelakinya.Allah lebih menyayanginya,ketika dalam perjalanan untuk X-Ray dia telah pun menemui Allah yang Esa kira-kira jam 12 tengah hari.


(AHAD/22.11.2009/MALAM)

Kelihatan semua agak keletihan memandangkan kurang tidur mungkin.Hanya dua orang sahaja yang dibenarkan menunggu Tok Wan.Setiap sejam kami akan bertukar orang untuk menjaga Tok Wan di samping membacakan ayat suci Al-Quran.Saya berada di luar wad ketika itu.Sofa di luar pintu masuk wad kelihatan kosong dan saya merebahkan badan di situ sambil menunggu handphone Pak Tih yang tengah di charge.Agak mengantuk juga dibuatnya,baru dibaca muqaddimah buku Peribadi Muslim hasil nukilan Muhammad Al-Ghazali.Kini buku tersebut yang membaca saya pula…Tidur.


“Jom,masuk wad”.Cemas nada suara Pak Su saya.

Hati saya dah mula gelisah dan bergedup kencang.Berpusu-pusu kami sekeluarga dan sanak-saudara terdekat masuk ke dalam wad.Tatkala diperhatikan dada Tok Wan,tidak seperti sebelum ini berombak.Kian perlahan dan hampIr tidak bergerak.Nenek yang berada di sisinya sibuk mengajarkan kalimah mulia…ALLAH…tiada sahutan.Kemudian giliran Pak Tih mengajarkan kalimah yang sama.Hampir menitiskan air mata dibuatnya.


“Jangan menangis”,nenek cuba menenangkan Pak Tih.


Sepasukan jururawat menghampiri Tok Wan dan sedaya upaya membantu Tok Wan.Sejurus selepas itu,kami semua dikehendaki keluar dari wad dan hanya dibenarkan melihat Tok Wan dari tingkap sahaja.Doktor dah pun sampai,langsir di sekitar katil ditutup rapat.Tok Wan hilang dari pandangan buat sementara.Kami menanti dengan penuh debaran dan pasrah kepadaNya.

“Ya Allah seandainya Kau masih mengizinkan dia terus hidup selamatkanlah dia,sekiranya Kau lebih menyayanginya,maka permudahkanlah segala urusannya untuk bertemu denganMu”,hati saya berbisik berdoa agar dipermudahkan urusan Tok Wan.

Pak Su menghampiri saya yang pada ketika itu saya berada di luar tingkap wad.


“Tok Wan dah cukup hukum”.Sayu suaranya.


Hati saya hanya mampu mengucapkan Innalilllahhi wa inna ilaihirajiun….tak terungkap lagi dengan kata-kata.Saya bergegas masuk ke dalam wad.Semuanya bermuram durja.Namun saya terharu melihat nenek.Dia tidak menangis dan pasrah atas pemergiaan suami tercinta.Alhamdulillah,sepanjang arwah dalam kondisi nazak,nenek sentiasa di sisi arwah dan dia menghalalkan segala-galanya atas apa yang telah lakukan Tok Wan kepadanya.

Jenazah Tok Wan dibersihkan,proses urusan jenzah dijalankan oleh abah saya sendiri.


“Nenek nak balik bila”,saya menggosok belakang nenek. “Balik dengan siapa-siapa pun tak apa,nenek nak tunggu urusan jenazah selesai dulu”.Mendatar luahan nenek.


Kelam kabut melihat sanak-saudara mengemaskan barang-barang Tok Wan yang ada di sana.Van jenazah akan sampai jam 11.40 malam dan Tok Wan menhembuskan nafas terakhir pada jam 10.30 malam.Sebanyak empat orang yang akan mengiringi jenazah nanti.Abah saya sendiri,Pak Cik,Pak Lang dan Pak Su.Saya bersendirian memandu Proto Saga milik abah.Berderet-deret kereta mengikut van jenazah.Kenderaan agak perlahan bergerak kerana di hadapan ada van jenazah.


Alunan ayat-ayat suci Al-Quran terus menerus berkumandang sampai ke pagi hingga khatam satu Al-Quran.Alhamdulillah…..Sanak-saudara,kaum kerabat dan orang-orang yang mengenali arwah datang tidak putus-putus.Jenazah mulai dimandikan pada jam 10 pagi dan sebelum proses kafan selesai kami diberi peluang untuk mengucup Tok Wan untuk kali yang terakhir….sejuk pipi dan dahinya…Arwah disembahyangkan sebanyak dua kali dan untuk kali yang kedua diimamkan oleh Tuan Guru Haji Salleh,tuan guru pondok Sik.


Saya mengambil inisiatif untuk bertolak dahulu ke tanah perkuburan tatkala arwah disembahyangkan.Dengan membawa nenek sekali ke tanah perkuburan menaiki kereta kami tiba lebih awal.Jenazah diusung dalam keranda kira-kira 3 kilometer jarak rumah Tok Wan ke tanah perkuburan.Segala urusan pengebumian berjalan lancar,talkin dibaca berulang kali sebagai peringatan untuk mereka yang masih hidup termasuklah diri yang dhoif ini.Sesungguhnya kepadaNya kita datang dan kepada Dia jualah kita akan dikembalikan…….


Untukmu Tok Wan yang disayangi…..semoga bergembiralah hidup di sana.Ingatlah saya pasti akan menyusul suatu hari nanti untuk bersama-sama Tok Wan.Saya doakan agar Tok Wan tergolong dalam kalangan hambaNya yang soleh…Amin.


~Warkah rindu untukmu Tok Wan........Al-Fatihah


Monday, August 2, 2010

Jambatan Menuju Akhirat......


Ayuh sahabat-sahabat,kita suburkan Islam dengan berusrah......Eratkan silaturrahim,mantapkan iman!!!